Monday, February 15, 2010

[Tazkiyatunnafsi] KITA ADALAH UMAT AKHIR ZAMAN, BANGKITLAH…Part 1

Allah berfirman yang maksudnya “ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman),…” (Ali Imran:110)

Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW, Nabi dan Rasul terakhir yang diturunkan; tiada lagi nabi dan rasul sesudah Baginda. Menurut ayat di atas, kita adalah sebaik-baik umat, iaitu umat Nabi Muhammad SAW. Maka untuk siapakah Nabi peringatkan tentang tanda-tanda akhir zaman? Untuk kitalah. Zaman manakah yang Baginda maksudkan dalam hadis-hadis baginda tentang akhir zaman? Zaman kitalah.

Layakkah kita mengaku sebagai sebaik-baik umat sedangkan kita tidak melakukan seperti yang Allah nyatakan dalam Al-Quran? Ayuh, kawan-kawan! Selagi nyawa masih ada pada jasad, selagi Allah masih memberi peluang untuk kita bernafas sebagai khalifah, tunaikanlah hak kita sebagai hambaNya, biar siapa pun kita…Ingatlah, sesungguhnya yang membezakan kita di sisi Allah adalah Taqwa (takut kepada Allah).

Berikut adalah himpunan hadis-hadis Baginda SAW yang menceritakan tentang akhir zaman. (kiranya ada kesilapan, minta dibetulkan)

Hadis 1: Ramai Munafik & Murtad

Diriwayatkan daripada Ali r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada akhir zaman akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia terbaik. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka ada pahalanya di sisi Allah pada hari Kiamat.”

Hadis 2: Fitnah berleluasa.

Diriwayatkan daripada Usamah r.a katanya: Nabi SAW telah naik ke salah satu bangunan yang tinggi dari bangunan-bangunan di Madinah, kemudian baginda bersabda: “Apakah kamu melihat apa yang aku lihat? Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat berlakunya berbagai fitnah di sekitar rumahmu bagaikan tempat turunnya air hujan.”

Hadis 3: Timbul Berbagai Fitnah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: “ Akan terjadi berbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan, manakala orang yang berjalan lebih baik dari orng yang melibatkan diri dalam fitnah tersebut, orang yang terlibat dengan fitnah tersebut akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung, hendaklah dia berlindung dari fitnah tersebut.”

Hadis 4: Fitnah Dari Timur.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam keadaan baginda mengadap kea rah timur (Iraq): “Sesungguhnya fitnah akan muncul di sebelah sana, sesungguhnya fitnah akan muncul di sana yang mana akan muncul dua tanduk syaitan.”

Hadis 5: Iman Semakin Lemah

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu beramal sebelum terjadi fitnah seperti menempuh malam yang gelap-gelita. Ketika itu nanti ada orang yang akan beriman pada waktu pagi tetapi petangnya sudah menjadi kafir. Petang kafir pagi sudah beriman. Dia menjual agamanya dengan harta dunia. (HR Muslim)

Hadis 6: Wanita berpakaian tetapi Telanjang

Rasulullah SAW telah bersabda: “Ada dua golongan yang termasuk ahli neraka yang belum pernah aku lihat perbuatan mereka itu, iaitu kaum yang mempunyai cemeti (cambuk) seperti ekor lembu, lalu mereka memukulkannya kepada manusia. Kemudian wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mereka bergaya mencari perhatian lelaki ajnabi. Kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak mencium baunya, sedangkan wangi syurga itu sudah terasa dari jarak sekian.” (HR Muslim)

Hadis 7: Kejahatan Menjadi Kebiasaan Pembesar.

Dari Anas bin Malik r.a, katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Bilakah masanya kami meninggalkan amar maaruf nahi munkar?” Rasulullah SAW menjawab: “Apabila datang kepada kamu apa yang didatangkan kepada Bani Israel. Apabila kejahatan itu sudah menjadi kebiasaan pembesar-pembesar kamu, ilmu dimiliki oleh orang-orang rendah dan kerajaan jatuh kepada orang-orang kecil (orang bawahan).”

Hadis 8: Tidak Percaya kepada Hadis

Dari Miqdam bin Ma’dikarib r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hampir masanya akan terjadi yang mana seorang lelaki di antara kamu sedang duduk di atas kerusinya kemudian dia berkata: “ Di antara kami dan kamu ada kitab Allah. Apa yang kita jumpai di dalamnya perkara halal kita halalkan dan perkara yang haram kita haramkan.” (Rasulullah SAW bersabda): “Ingatlah bahawa apa yang diharamkan Rasul Allah itu sama dengan yang diharamkan oleh Allah.” (HR Ahmad, Hakim dan Ibnu Majah)

Hadis 9: Memegang Agama seperti Memegang Bara Api

Dari Anas r.a katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Akan sampai masanya nanti, yang mana orang yang sabar berpegang teguh kepada agamanya sama seperti orang yang memegang bara api (kesusahannya).” (HR Tirmizi)

Hadis 10: Pilihan antara Dianggap Lemah atau Berbuat Jahat

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang masanya kepada umatku yang mana seseorang diberi pilihan antara dianggap lemah atau berbuat jahat. Sesiapa yang menjumpai zaman seperti itu hendaklah dia memilih yang lemah daripada berbuat jahat.” (HR Al-Hakim)

No comments:

Post a Comment